fb fb fb fb fb

Penjaja, peniaga berlesen wajib carum PERKESO bermula 1 Januari 2025

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Penjaja dan peniaga berlesen diwajibkan mencaruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula 1 Januari tahun bagi menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan berkata, bagi tempoh 2024 hingga 31 Ogos lepas sebanyak 53,901 individu dalam sektor penjaja mencarum SKSPS dengan 189 kes tuntutan diterima dan diproses melibatkan pembayaran faedah keseluruhan sektor terbabit berjumlah RM681,174.90.

Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos 2024 melalui P.U. (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September 2024.

"SKSPS yang dikuatkuasakan sejak Jun 2017 berupaya menjadi jaminan kewangan dan kelangsungan kehidupan dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial dalam jangka panjang.

"Semua penjaja dan peniaga termasuk kios yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dikehendaki mencarum SKSPS, dengan tempoh peralihan diperuntukkan selama empat bulan," kata PERKESO.

Individu yang mempunyai lesen atau kelulusan bagi aktiviti berhubung menjaja atau berniaga sama ada di tepi jalan mahupun pasar yang dikeluarkan pihak berkuasa bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 (Sabah No. 11 1991) atau Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak Bab. 20) diwajibkan membayar caruman SKSPS PERKESO.

"Sektor penjaja ialah yang ketiga dijadikan mandatori untuk caruman SKSPS, selepas sektor perkhidmatan pengangkutan penumpang bermula 2017 serta sektor perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022."

Dalam pada itu, PERKESO akan terus bekerjasama dengan semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tempoh peralihan bagi meningkatkan kesedaran kepada peniaga serta penjaja, memandangkan mereka ialah sebahagian daripada pemacu ekonomi.

Penjaja atau peniaga boleh mendaftar dan mencarum SKSPS menerusi aplikasi "Prihatin" atau hadir ke pejabat PERKESO di seluruh Malaysia, atau layari portal MATRIX PERKESO melalui pautan www.matrix.perkeso.gov.my, atau ejen Perkeso yang sah menerusi https://www.perkeso.gov.my/ejen-keselamatan-sosial-pekerjaan-sendiri.html.

TETITIA YUSOFF