Penipuan tempahan kuih raya, juadah kembali aktif di Perak

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin

GOPENG, 17 Mac – Kegiatan penipuan tempahan kuih raya dan juadah dikesan kembali aktif di Perak, dengan kerugian mencecah hampir RM300,000 setakat tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menyasarkan pengusaha makanan seperti katering dan bakeri dengan membuat pesanan dalam jumlah besar.
  • Pengusaha membayar seperti diminta kemudian gagal dihubungi, menanggung kerugian menyediakan juadah serta kehilangan wang bayaran.
  • Polis menggesa peniaga supaya lebih berwaspada terhadap tempahan luar biasa, utamakan urusan bersemuka dan kenakan deposit.
  • Sebanyak 66 kes penipuan tempahan direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebanyak tujuh laporan diterima melibatkan taktik penipuan serupa.

Sindiket terbabit menyasarkan pengusaha makanan seperti katering dan bakeri dengan membuat pesanan dalam jumlah besar bagi meyakinkan mangsa.

“Dalam beberapa kejadian ini, pengusaha pastri membuat bayaran seperti diminta. Namun tidak lama selepas itu, mereka gagal menghubungi pihak berkenaan dan barulah menyedari telah ditipu.

“Mereka bukan sahaja menanggung kerugian menyediakan kek atau juadah yang ditempah, malah turut rugi kerana membuat bayaran kepada nombor yang diberikan sindiket. Maknanya, kedua-dua pihak yang terlibat itu sebenarnya adalah sindiket penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Op Selamat 26 sempena Aidilfitri peringkat negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar Perak (UTC), di sini.

Polis menggesa peniaga supaya lebih berwaspada terhadap tempahan luar biasa, selain mengutamakan urusan secara bersemuka dan mengenakan bayaran deposit bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Datuk Noor Hisam turut memaklumkan bahawa taktik berkenaan bukan sesuatu yang asing apabila sebanyak 66 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.