KUALA LUMPUR, 17 November- Sebanyak 2,873 aduan berkaitan penipuan pelaburan diterima Suruhanjaya Sekuriti (SC), setakat suku ketiga tahun ini.
Pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata angka berkenaan meningkat ketara berbanding 2,461 aduan yang diterima sepanjang tahun lalu.
SC memandang serius peningkatan tersebut dan akan lebih proaktif menangani penipuan pelaburan dengan kerjasama pihak berkuasa serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengambil tindakan berhubung aduan yang dilaporkan pada tahun 2022. Daripada 2,461 aduan, sejumlah seribu lebih kes telah kita ambil tindakan dalam pelbagai bentuk termasuk laporan polis dan kita beri kepada agensi berkaitan untuk mengambil tindakan.
Itu termasuk usaha kita menutup laman web dan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan lain-lain," kata Dr. Awang kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran InvestSmart Fest 2023, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan 2, Steven Sim.
Sehingga Oktober lalu, empat tindakan penguatkuasaan terhadap kes aktiviti tidak berlesen.
274 entiti turut dikemaskini dalam Senarai Peringatan Pelabur selain menyekat 28 laman web, 113 akaun Telegram, 78 akaun Facebook dan 10 akaun Instagram.
SC turut membangunkan Meter Penipuan di laman webnya dan platform Semak Sebelum Labur yang akan menjadi pusat sehenti bagi carian kesahihan entiti atau individu yang menawarkan peluang pelaburan.