fb fb fb fb fb

Penipuan kerja, KLN giat bawa pulang rakyat Malaysia di luar negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 November- Seramai 26 mangsa warganegara Malaysia yang terlibat dalam kes penipuan pekerjaan di Myanmar kini sedang dikenal pasti oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk dibawa pulang ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan jalinan usaha sama dilaksana antara perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat, dalam mengesan dan memberi bantuan konsular kepada mangsa.

Langkah itu termasuk memudah cara urusan dokumentasi untuk membawa mangsa pulang.

"KLN melalui kedutaan besar Malaysia di Yangon dengan kerjasama kerajaan Thailand, Filipina dan China sedang menyelaras alternatif bagi bawa pulang 26 mangsa berkenaan dengan selamat. KLN mengingatkan semua warga supaya peka dan berwaspada menerima tawaran pekerjaan diterima melalui platform meragukan," kata Alamin di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan ahli parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew pada persidangan dewan rakyat.

Jelasnya, KLN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam satu lawatan kerja ke Kemboja dan Thailand pada awal tahun ini bagi memperkukuh kerjasama bersama PBT terlibat.

Sehingga 3 November lalu, seramai 518 mangsa penipuan pekerjaan telah dibawa pulang. 

Dalam sidang sama, Datuk Mohamad Alamin turut menyeru masyarakat untuk tampil memberikan maklumat berhubung mangsa penipuan pekerjaan.

Ia berikutan terdapat laporan media yang melaporkan lebih 2,000 mangsa masih terkandas.

"Yang sudah bawa pulang dalam 500 orang.Jumlah yang mendaftar secara rasmi dengan kita adalah 704 orang. Banyak laporan media yang laporkan lebih dari itu, ada yang kata sampai 2,000 orang.

Jadi, ini barang kali yang belum daftar dan belum dijejaki secara rasmi. Kita mohon kerjasama semua pihak memberi maklumat supaya boleh bekerjasama dengan pasukan khas untuk kesan dan bawa balik mangsa pulang ke tanah air," tambah Alamin.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM