KEMAMAN, 21 Mac- Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuat beberapa keputusan melibatkan kerajaan negeri merupakan langkah yang tepat.
Ini termasuk keputusan untuk meningkatkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang kepada negeri Terengganu sebanyak 25 peratus bermula tahun depan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan kerajaan itu membuktikan hubungan baik antara kerajaan pusat dengan negeri.
Ketika ini kadar populasi di Terengganu telah meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada 936,000 penduduk pada tahun 2002 kepada 1.23 juta penduduk.
Kali terakhir kadar dipinda pada 2002.
"Dan kerajaan negeri memerlukan mesyuarat seperti ini dilaksanakan secara berterusan dari masa ke masa untuk memberi ruang perbincangan antara pihak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas beberapa keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang melibatkan menteri-menteri besar, menteri kewangan, dan Perdana Menteri, antaranya keputusan peningkatan 25 peratus Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang bermula pada tahun 2026 nanti," katanya.
Beliau berucap pada Majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di pekarangan Masjid Sultan Ahmad di sini.