
JOHOR BAHRU, 14 Februari – Kesesakan trafik yang luar biasa dijangka berlaku di Tambak Johor dan LinKedua di Gelang Patah susulan peningkatan sehingga 40 peratus jumlah kenderaan yang memasuki negeri ini semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
- Peningkatan sehingga 40 peratus kenderaan memasuki Johor sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.
- Fokus operasi pada laluan sempadan utama Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
- Penempatan 1,801 pegawai dan anggota termasuk 57 pegawai serta 619 anggota JSPT sepanjang Op Selamat 25.
- Operasi mensasarkan kelancaran trafik, pengurangan maut 5 peratus dan pencegahan enam kesalahan jalan raya utama.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya menjangkakan 140 ribu kenderaan memasuki Johor susulan sambutan perayaan itu dan awal Ramadan yang bersambung dengan cuti panjang sesi persekolahan.
“Kita anggarkan 30 hingga 40 peratus peningkatan daripada biasa. Ramalan ini antaranya disebabkan cuti sekolah dan perayaan, selain orang ramai mengambil kesempatan untuk bercuti dan membeli-belah,” katanya.
Datuk Ab Rahaman berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada laluan utama sempadan negara, iaitu Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar sepanjang Op Selamat 25 bersempena Tahun Baharu Cina yang bermula esok hingga hingga 20 Februari ini.
Sebanyak 47 lokasi kerap berlaku kesesakan serta 38 lokasi kemalangan, dikenalpasti di seluruh negeri ini.
“Kita akan menggerakkan seramai 1,801 orang pegawai dan anggota di seluruh negeri Johor sepanjang Op Selamat ini dilancarkan dan ini termasuk 57 pegawai serta 619 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Operasi berkenaan akan memfokuskan kepada kelancaran aliran trafik, mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut sehingga 5 peratus serta pencegahan jenayah pecah rumah.
Operasi juga akan memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama jalan raya yang menyumbang kepada kemalangan termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.