KUALA LUMPUR, 8 Januari- Penimbangtara 'penyangak' Sepanyol, Gonzalo Stampa dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menghina mahkamah, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Tahniah kepada semua rakyat Malaysia! Penimbangtara tidak beretika Gonzalo Stampa telah didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol serta dilarang menjalankan kerja timbang tara selama setahun.
“Beliaulah yang bertanggungjawab menjatuhkan 'award' sebanyak hampir AS$15 bilion (dianggar RM70 bilion) ke atas Malaysia atas asas kononnya waris Sulu mempunyai tuntutan ke atas Sabah,," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) itu dalam satu catatan di platform X, hari ini.
Disember lalu, Datuk Seri Azalina sendiri pergi ke Sepanyol untuk memantau perbicaraan terhadap Stampa di Mahkamah Jenayah Madrid.
Stampa didakwa dengan 'amalan profesion tanpa kelayakan' selepas secara kontroversi mengarahkan Malaysia membayar AS$14.92 bilion kepada sekumpulan lapan warga Filipina yang mendakwa diri mereka adalah pewaris Kesultanan Sulu.
Pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid mengeluarkan penghakiman, selaras dengan undang-undang kesnya, memutuskan bahawa Malaysia telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.
Mahkamah membatalkan pelantikan Stampa, semua tindakan prosedurnya dan memerintahkan supaya Malaysia dipanggil dengan betul dan memulakan semula prosiding timbang tara.
Pembatalan pelantikan Stampa kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.
Stampa merupakan seorang penimbang tara Sepanyol yang terlibat dalam kes undang-undang berkaitan Malaysia dan waris kesultanan Sulu.
Keputusan kes berkenaan adalah penting bagi Malaysia kerana ia berpotensi membatalkan semua keputusan yang dibuat oleh Stampa.
Kes terhadap Stampa dilihat sebagai satu langkah penting dalam menangani apa yang kerajaan Malaysia anggap sebagai tuntutan palsu dan tidak berasas terhadap negara oleh sekumpulan individu yang kononnya waris kesultanan Sulu.