Penilaian impak konflik Asia Barat dibincang dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Penilaian impak konflik di Asia Barat bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengadakan perbincangan awal mengenai isu-isu berbangkit.
  • Jawatankuasa diterajui kementerian utama termasuk Kewangan, Ekonomi, Pengangkutan, Pelaburan, Pertanian, Perdagangan Dalam Negeri dan PETRA.
  • Perbincangan memberi tumpuan kepada kesan ekonomi terhadap negara serta implikasi kepada kesejahteraan rakyat.
  • Fadillah dan IWK mengagihkan 500 pek juadah buka puasa serta sumbangan duit raya kepada komuniti dan beberapa NGO.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia khusus bagi memantau keadaan di negara Teluk akibat peperangan di antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.

“Ia untuk mengkaji setakat mana kesannya kepada Malaysia dan apa persiapan kita nak buat dalam menghadapi segala kemungkinan sama ada kesan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang

“Tapi yang lebih penting adalah untuk kita bersiap siaga. Itu yang bakal besok dibincangkan dan perinciannya esok, biarlah tunggu esok,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Sahabat Istimewa Indah Water Konsortium (IWK) di Lembah Pantai hari ini.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telahpun mengadakan perbincangan awal mengenai isu-isu berbangkit susulan konflik berkenaan.

Jawatankuasa itu diterajui kementerian-kementerian utama seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta PETRA.

“Semua yang melibatkan sudut ekonomi kepada negara kita. Kedua, kesannya kepada rakyat,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu susulan serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan Amerika Syarikat di negara-negara Teluk.

Terdahulu, Datuk Seri Fadillah bersama pasukan pengurusan IWK turut mengagihkan 500 pek juadah berbuka puasa kepada komuniti setempat, selain turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada para tetamu, sekali gus menceriakan suasana dan membuktikan penghargaan kepada golongan istimewa itu.

Antara tetamu yang hadir termasuk wakil daripada beberapa badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM), Persatuan OKU Sentral, Persatuan Kebajikan Ahsana KL (PKAKL), National Autism Society of Malaysia (NASOM), dan Yayasan Chow Kit (YCK), serta ahli komuniti setempat dan peniaga bazar.