KUALA LUMPUR, 30 Mac- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihatkan para peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan masing-masing demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian masyarakat.
Baginda bertitah, dalam kesibukan menyambut Aidilfitri, para peniaga pasti berusaha meningkatkan pendapatan dengan menawarkan pelbagai barangan untuk menarik pembeli. Namun, urus niaga yang dijalankan mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Apa jua bentuk perniagaan perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan. Peniaga perlu memiliki lesen atau permit perniagaan, manakala PBT pula bertanggungjawab menyediakan lokasi perniagaan yang selamat dan sesuai untuk semua pihak,” titah Baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa sebarang isu atau permasalahan perlu diselesaikan secara berhemah tanpa menimbulkan kekecohan atau menyebabkan kecederaan.
Dalam pada itu, Baginda menegaskan keperluan peniaga di negeri Pahang untuk memiliki lesen perniagaan serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Pihak penguatkuasa pula diingatkan agar menjalankan tugas dengan penuh hemah dan kebijaksanaan tanpa mencetuskan kekecohan atau kerosakan.
Sementara itu, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, berkesempatan menziarahi seorang peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.
Muhammad Zaimuddin Azlan, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, 28, kini dirawat di Hospital Serdang selepas mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Tengku Arif Bendahara yang tiba sekitar pukul 12.30 tengah hari, meluangkan masa bertanya khabar serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan kesihatan Zaimuddin.
Baginda turut menyampaikan kurniaan peribadi daripada KDPB Sultan Pahang sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa pemuda dari Jerantut itu.