Peniaga hasil laut dikompaun, guna alat timbang tamat tempoh

Foto KPDN Labuan

LABUAN, 13 Mac– Seorang peniaga hasil laut dikenakan tindakan kompaun oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan selepas didapati menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan diambil di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).
  • Op Pantau menemui neraca spring digunakan selepas tamat tempoh penentusahan sejak 15 Mac 2021.
  • Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000, penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.
  • KPDN mengingatkan peniaga pastikan alat timbang disahkan semula oleh pembaik berlesen untuk melindungi hak pengguna.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tersebut diambil di bawah peruntukan Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

Kesalahan itu dikesan melalui pemeriksaan penguat kuasa KPDN menerusi Op Pantau Alat Timbang dan Sukat yang melibatkan premis peruncitan seperti kedai runcit serta gerai awam di sekitar wilayah ini.

“Pemeriksaan mendapati peniaga terbabit masih menggunakan alat timbang jenis neraca spring yang telah tamat tempoh penentusahan sejak 15 Mac 2021 bagi tujuan transaksi jual beli.”

Penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan semula untuk tujuan perdagangan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71),” kata kenyataan itu.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000, penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, KPDN mengingatkan para peniaga agar memastikan semua alat timbang dan sukat yang digunakan sentiasa berada dalam tempoh sah dan ditentusahkan oleh pembaik berlesen.

Langkah tersebut penting bagi menjamin ketepatan sukatan sekali gus melindungi hak serta kepentingan pengguna.