PORT DICKSON, 21 Februari-Peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga santan dan kelapa di Negeri Sembilan.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat peniaga meletakkan harga santan sehingga RM18 sekilogram, dan ia sepatutnya dijual pada harga RM12 hingga RM14.
"Saya minta kerjasama pengeluar hasil kelapa dan juga pekedai pekedai untuk tidak menaikkan harga semata-mata kerana kekurangan bekalan kelapa ini.
"Kalau kita jual lebih dari itu bermakna kita mengambil kesempatan di atas kekurangan yang berlaku", katanya demikian pada Majlis Perasmian Seminar Teknikal Sayur-Sayuran dan Jom Bertani 2025 di sini.
Menurutnya, harga jualan santan dan kelapa tersebut perlu dikekalkan supaya untuk memudahkan masyarakat di negeri berkenaan dapat menyambut Ramadan dan musim perayaan dalam keadaan selesa.
Bekalan kelapa berkurangan sejak Januari lalu disebabkan musim melawas dan menjejaskan hasil pengeluaran kelapa.