KOTA BHARU, 30 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengingatkan peniaga 'colek' sepanjang Ramadan ini agar tidak menaikkan harga sesuka hati.
Pengarah KPDN Negeri Azman Ismail berkata, seramai 142 pegawai penguatkuasa telah digerakkan setiap hari bagi melakukan pemantauan termasuk ke atas kedai-kedai yang menjual colek.
Jelas beliau, antara kesalahan yang biasa dilakukan peniaga adalah tidak meletakkan tanda harga atau mengelirukan pelanggan.
KPDN juga tegas beliau tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi kesalahan tersebut.
"Pertama kita akan bagi amaran dulu yang kedua kalau masih ingkar itu baru kita kompaun, tetapi setakat ini Alhamdulillah peniaga-peniaga ini boleh beri kerjasama yang baik bagi kita setelah diberi amaran mereka terus laksanakan sebagaimana yang diarahkan," kata Azman kepada media selepas menyempurnakan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Kelantan di Tunjong, di sini.
Dalam perkembangan berasingan, Azman berkata, sebanyak 8,000 baucer e-wallet bernilai RM20 setiap satu akan diagihkan untuk berbelanja di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) sepanjang bulan Ramadan ini.
Seramai 113 peniaga di BRR menyediakan pembayaran tanpa tunai dengan 90 gerai menyediakan Menu Rahmah sebagai pilihan menu tambahan pada harga RM5 dan ke bawah.
Sementara itu, Azman berkata, sehingga kini, KPDN Kelantan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,227 premis sejak 12 Mac lalu menerusi Ops Pantau 2024.
Empat kes berjaya dikesan, masing-masing tiga kes bawah Akta Timbang Sukat 1972 manakala satu kes mengikut Akta Kawalan Hara dan Antipencatutan 2011 melibatkan pemborong dan peruncit.
Kompaun juga telah dikeluarkan kepada mereka yang terlibat.