fb fb fb fb fb

Peniaga belut maut, gerai dirempuh kenderaan

Jenazah, Mohd Arif Said, 44, yang dirempuh sebuah kenderaan

PASIR MAS, 27 Februari- Seorang peniaga belut di Kelantan maut selepas gerai miliknya dirempuh oleh sebuah kenderaan di Kampung Padang Licin, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.00 petang itu, mangsa, Mohd Arif Said, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Isteri mangsa, Rohaya Abdullah, 45, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kakak iparnya dan menyangka ia kemalangan biasa kerana gerai milik suaminya itu pernah dirempuh tiga bulan lalu.

Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut apabila orang ramai memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM).

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa Allahyarham pada tengah hari sebelum suaminya itu keluar berniaga bersendirian, manakala dia menjaga tiga anaknya di rumah.

Rohaya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut bagaimanapun reda dengan pemergian suaminya itu.

Ujarnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Sangkut, di sini, selepas selesai segala urusan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi RTM mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA