fb fb fb fb fb

Pengusaha tempatan disaran teroka sektor halal lain selain F&B- TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (tengah) menyempurnakan perasmian program ‘Halal on Track@Johor’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU, 4 Jun- Pengusaha halal tempatan disaran meneroka pasaran halal baharu selain sektor makanan dan minuman (F&B), khususnya produk farmaseutikal dan kosmetik bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada ketika ini 87 peratus produk halal tempatan termasuk yang dieksport ke luar negara adalah dalam sektor F&B.

“Dalam lawatan saya ke beberapa negara, saya dapati pasaran halal terhadap farmaseutikal dan kosmetik ada permintaan tinggi, jadi saya harap kita bukan hanya menyediakan bahan mentah atau ramuan tetapi juga keluarkan produk akhir dengan jenama Malaysia.

“Kita lakukan secara berperingkat dengan sasaran 50 peratus produk F&B dan 50 peratus bukan F&B dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian program ‘Halal on Track@Johor’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata perkara itu memerlukan perancangan rapi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam negeri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa setiap Komuniti MADANI di seluruh negara, mengambil peluang pasaran halal yang dijangka bernilai USD5 trilion pada tahun 2030.

“Peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada setiap Komuniti MADANI, boleh digunakan untuk mengeluarkan produk halal masing-masing bagi meningkatkan ekonomi penduduk desa,” katanya.

Ujarnya lagi sebanyak RM5 juta diperuntukkan MARA untuk membimbing pengusaha tempatan memohon sijil halal JAKIM, menerusi inisiatif i-Bimbing.

“Inisiatif ini bertujuan mengumpulkan pemohon-pemohon sijil halal dalam kumpulan kecil, untuk diberi bimbingan oleh konsultan yang dilantik JAKIM sendiri, berhubung syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

“Diharap dengan inisiatif ini, penyegeraan pengeluaran sijil dapat dilakukan kepada pemohon dalam tempoh 23 hari. Tetapi saya juga yakin sijil halal itu dapat dikeluarkan dalam tempoh 15 hari dengan adanya bimbingan pihak JAKIM. Ini satu cabaran, tetapi saya yakin mereka boleh melakukannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata JAKIM telah menerima sebanyak 8,375 permohonan antara Oktober hingga Disember 2023, peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 7,230 permohonan antara Januari hingga September tahun sama.

Justeru, beliau berharap JAKIM lebih proaktif dalam isu Pensijilan Halal Malaysia selari dengan sambutan 50 tahun agensi itu tahun ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI