fb fb fb fb fb

Pengusaha akuakultur perlu daftar sistem GeoAgro sebelum BUDI MADANI

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain

BUKIT MERTAJAM, 1 Jun - Kesemua pengusaha ternakan akuakultur bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) digesa untuk mendaftar dengan sistem GeoAgro sebelum membuat permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (BUDI MADANI).

Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata, berdasarkan rekod kira-kira 7,900 penternak akuakultur berdaftar di Semenanjung dan hanya 1,232 penternak akuakultur yang telah memohon bagi mendapatkan sumbangan, susulan kerajaan kini sedang melaksanakan penyasaran subsidi diesel.

"Jadi, apa yang Jabatan Perikanan galakkan penternak kita pertama sekali ialah berdaftar dengan GeoAgro yang satu portal ada bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Jadi kita ingin mendapatkan data-data asas bagi penternak-penternak akuakultur kita khususnya di Semenanjung Malaysia," kata Adnan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival myAgroprenur (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Utara 2024 yang bertempat di Mydin Mall, di sini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu mengumpulkan 18 usahawan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sebagai platform membantu usahawan mempromosikan pasaran produk tempatan terus kepada masyarakat.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon sumbangan tunai menerusi Program BUDI MADANI mulai 28 Mei lalu.

Adnan berkata pemilik kenderaan diesel persendirian layak membuat permohonan bagi kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil bawah Budi Agri-Komiditi.

TETITIA YUSOFF