
PUTRAJAYA, 7 Februari – Pengurusan isu berkaitan tadbir urus rumah ibadat di negara ini dilaksanakan berlandaskan kerangka perundangan sedia ada serta prinsip kedaulatan undang-undang, selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Pengurusan rumah ibadat mesti berlandaskan kerangka perundangan sedia ada dan prinsip kedaulatan undang-undang.
- Isu ditangani secara berhemah, berfakta dan mengelakkan sentimen perkauman atau keagamaan.
- KPN berperanan sebagai pemudah cara untuk memperkukuh dialog, kefahaman dan keharmonian antara penganut agama.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, urusan berkaitan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadat adalah tertakluk bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Antaranya Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)
“Sehubungan itu, KPN menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berfakta dan berlandaskan undang-undang, tanpa mengheret sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
KPN juga kekal komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh kefahaman, dialog dan keharmonian antara penganut agama, sambil menghormati bidang kuasa agensi berkaitan serta keputusan pihak berkuasa yang berlandaskan undang-undang.
Justeru, semua pihak diseru agar menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi serta mengekalkan semangat saling menghormati demi memelihara perpaduan nasional dan kestabilan negara.