Pengurusan AI elak risiko ancaman digital

Foto janaan AI

KANGAR, 12 April – Pengurusan yang berkesan dan bertanggungjawab amat penting dalam memastikan teknologi terus menjadi pemudah cara dalam kehidupan moden, khususnya dalam era perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • AI bukan pilihan, kini keperluan; kegagalan pengurusan boleh undang kebocoran data dan penipuan.
  • Penggunaan AI perlu diurus secara bertanggungjawab kerana ia medium penting penyampaian maklumat kepada masyarakat.
  • Kegagalan mengendalikannya dengan baik berisiko menyebabkan maklumat disalah tafsir, ancam keselamatan serta keharmonian komuniti.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata teknologi kecerdasan buatan kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya telah menjadi keperluan seiring arus kemajuan digital.

Kegagalan mengurus dan mengawal penggunaan teknologi tersebut dengan baik berpotensi mengundang pelbagai ancaman termasuk kebocoran data peribadi serta penipuan.

“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu diuruskan secara bertanggungjawab kerana teknologi itu mampu menjadi medium penting dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.

“Kegagalan mengendalikannya dengan baik berisiko menyebabkan maklumat disalah tafsir, sekali gus berpotensi mengancam keselamatan serta keharmonian komuniti dan khalayak secara keseluruhan.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu di konti Perlis FM di sini, bagi berkongsi pandangan mengenai Vibe dan Dekad RTM : Medium Pencerah Dasar Negara.

Selain menjadi tetamu di konti, beliau turut meluangkan masa melawat studio berita RTM Perlis serta beramah mesra bersama petugas.

Datuk Abdul Halim mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Perlis dengan menghadiri pelbagai program di Pusat Sebaran Maklumat Nasional, Sembang Santai Komuniti Madani Padang Besar Selatan dan Kampung Warna Warni serta Majlis Perasmian Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan di Wat Macchimaprasit Jejawi.