fb fb fb fb fb

Pengunjung teruja sambut Hari Kebangsaan, berkumpul seawal 6.00 pagi

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

SEGAMAT, 31 Ogos - Sebanyak 114 kontinjen terlibat dalam Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dataran Segamat.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd muncul johan keseluruhan perbarisan dan perarakan yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kali ini.

Onn Hafiz dalam ucapannya menyeru agar semua pihak berganding bahu membangunkan negeri yang dicintai selain mensyukuri segala nikmat serta sentiasa menjaga keharmonian antara kaum bagi memastikan perpaduan dapat dikekalkan.

"Jadi apa yang saya mahu sampaikan akhirnya ialah seperti yang telah disampaikan deklamasi sajak tadi bahawa apa yang kita kecapi ini adalah hasil usaha nenek moyang kita berjuang berjiwa raga memastikan negara ini berada dalam keadaan aman, tenteram dan merdeka," kata Onn Hafiz.

Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan di Batu Pahat turut meriah dengan kehadiran pengunjung sejak pukul 6.00 pagi lagi.

"Kerana saya bekas anggota beruniform, jadi saya setiap tahun kena terlibat perbarisan. Jadi memandangkan semangat saya berkobar mahu lihat orang berbaris, bagaimana pengalaman saya dulu kan jadi sekarang saya sudah pencen, minat masih ada lagi," kata Pengunjung, Abu Talib Sulaiman.

"Di sekolah anak saya dia tahu mengenai sambutan ini. Hari-hari tanya hendak pergi majlis ini. Kami ibu bapa pun turut teruja, " kata Wardah Hassan.

Dalam pada itu, Di Terengganu lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Shahbandar, di sini.

Pengunjung mula berkumpul seawal pukul 6.30 pagi di sepanjang laluan perarakan sejauh 4.2 kilometer.

Masing-masing hadir membawa Jalur Gemilang bagi menyaksikan Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 itu.

Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Perarakan berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan barisan exco.

Perarakan disertai 122 kontinjen melibatkan 6,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan badan beruniform, badan bukan kerajaan (NGO) dan pancaragam sekolah.

Acara turut dimeriahkan dengan perarakan membawa beca, basikal dan motosikal antik yang dihiasi dengan Jalur Gemilang sebagai tanda menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah tersebut.

TETITIA YUSOFF