fb fb fb fb fb

Pengunjung diingatkan pilih kereta sewa dengan permit sah

Aedy Fadly Ramli

ALOR SETAR, 28 Julai- Semua pengunjung yang mahu menggunakan perkhidmatan kereta sewa di Pulau Langkawi diingatkan supaya memilih kenderaan sewa yang mempunyai permit sah.
 
Perkara itu bagi mengelakkan sebarang risiko terutama sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kemalangan dan sebagainya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, orang ramai perlu membuat semakan terperinci bagi mengelakkan sebarang masalah.
 
Pihaknya juga menerima banyak aduan daripada pemain industri di pulau berkenaan berkaitan banyak kenderaan sewa tanpa permit dan tidak dilindungi insuran.
 
Penyewa menggunakan kenderaan sewa tanpa permit tidak dilindungi insuran kerana ia adalah kenderaan hak milik persendirian.

"Jadi insuran bagi kenderaan persendirian adalah untuk orang persendirian, pemilik kenderaan dan juga pemandu.

"...tetapi apabila pemilik kenderaan membenarkan secara tidak sah, sekiranya berlaku risiko kepada penyewa ianya tidak dilindungi insurans. Ini akan memberikan risiko yang sangat besar kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan rasmi pertama selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah JPJ yang baharu ke pejabat JPJ Negeri Kedah di Jalan Suka Menanti, di sini.

Bagaimanapun pihaknya melakukan operasi berkala berkaitan kenderaan sewa tanpa permit sah di pulau itu berdasarkan aduan daripada pemain industri berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI