(Anwar Ibrahim)
BUKIT JALIL, 30 Julai- Tidak wajar untuk melabelkan pengumuman berkaitan inisiatif rakyat sebagai medium meraih undi untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15) di enam negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengumuman setiap insiatif itu dibuat seperti dijadualkan, berdasarkan perancangan setiap kementerian.
Jelas beliau, kerajaan juga tidak akan menangguhkan sebarang program nasional yang telah ditetapkan, semata-mata untuk memberi laluan kepada PRU DUN Ke-15.
"Saya sudah beritahu, tidak boleh guna jentera negeri untuk kempen negeri mulai semalam (hari penamaan calon) sehingga hari pilihan raya. Itu keputusan Jemaah Menteri, tetapi ini tidak harus menghalang kerja-kerja kerajaan. Saya kena jumpa pegawai-pegawai kerajaan, saya kena jumpa macam ini (program).
"Program ini sudah ditetapkan (sejak) tiga bulan (lalu), permohonan kementerian itu sudah lama, kita hendak umumkan semasa Hari Pengguna," katanya selepas merasmikan penutupan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di sini.
Anwar sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding pada PRU DUN Ke-15 agar menghormati peraturan untuk tidak menggunakan aset kerajaan negeri bagi tujuan berkempen.
Pada program tersebut, perdana menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperluas inisiatif Rahmah termasuk pelaksanaan Jualan Rahmah secara bergerak dengan tanda pagar #KedaiCariRakyat.
(Anwar Ibrahim)