fb fb fb fb fb

Pengumuman pelaburan Google di Malaysia diumum dalam masa terdekat

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan satu pengumuman berkenaan pelaburan Google di Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia susulan pertemuan secara maya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Google, Ruth Porat serta beberapa pengurusan kanan syarikat gergasi teknologi itu pada Isnin.

"Antara perbincangan ialah tentang pelaburan dalam negara kita yang akan diumumkan jumlahnya selepas diluluskan.

"Tapi pada masa sama perbincangan juga adalah merangkumi dari segi pertukaran kepakaran. Reskilling upskilling rakyat kita dalam tiga sektor terutamanya pendidikan, agrikultur dan kesihatan", katanya selepas majlis makan malam meraikan delegasi Arab Saudi ke Malaysia malam tadi.

Katanya, Kementerian Digital akan menyelaraskan penggunaan digital AI, manakala dari segi pelaburan, MITI bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang membuat persiapan akhir bersama Google.

Pada November 2023, Kerajaan Malaysia dan Google mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat.

ROSLINA BINTI DIN