fb fb fb fb fb

Pengukuhan industri halal Malaysia raih pujian PBB - Fadillah

Fadillah berkata seiring hasrat itu, pihak berkepentingan dalam industri halal juga harus menjauhi urus niaga tidak beretika serta transaksi yang menyalahi undang-undang.

PUTRAJAYA, 30 November- Malaysia perlu mengukuhkan lagi aspek utama seperti insfrastrukur pembangunan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan dan latihan, integrasi teknologi serta kerjasama global dalam memastikan hab ekonomi halal negara terus berdaya maju.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata seiring hasrat itu, pihak berkepentingan dalam industri halal juga harus menjauhi urus niaga tidak beretika serta transaksi yang menyalahi undang-undang bagi memupuk ekosistem ekonomi halal yang kondusif.

"Usaha Malaysia dalam pengukuhan industri halal mendapat pujian daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyediakan garis panduan model pelabelan makanan halal dan ia kekal penting untuk pengguna Islam di seluruh dunia.

"Kerajaan Malaysia tetap teguh dalam komitmen untuk membina industri halal dengan menekankan kepentingan kerjasama dalam kalangan kerajaan dan pihak berkepentingan swasta utama.

"Menyedari kejayaan itu pembangunan dalam halal adalah tanggungjawab bersama, Malaysia terus memperjuangkan usaha kerjasama kerana tiada satu negara atau pihak berkepentingan boleh mencapai matlamat ini bersendirian," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Islam dan Ekonomi Halal Antarabangsa (ICIHES) 2023 serta Persidangan Undang-Undang Islam, Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa (SPEKI) 2023 di sini.

Jelasnya lagi, menerusi persidangan itu, ia akan memberi manfaat yang besar kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, komuniti perniagaan dan masyarakat secara umum terutamanya kepada negara yang terlibat.

Selain memberi jaminan terhadap kesediaan Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk berkongsi kepakaran, pengalaman dan pengetahuan dalam membangunkan piawaian baharu berkaitan pembangunan industri halal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM