SEPANG, 29 Mei- Penguatkuasaan undang-undang terhadap pengguna yang memuat naik bahan berunsur jelik di media sosial perlu terus diperkasa.
Menurut Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, kebelakangan ini banyak hantaran di media sosial yang tidak bermanfaat disiar dalam platform tersebut, semuanya bermotifkan 'eksperimen sosial' dan 'pemasaran'.
Katanya, ramai pengguna menjadikan platform itu sebagai kaedah pemasaran selain meraih pendapatan melalui pelbagai platform aplikasi dalam talian dan perkara itu bukanlah satu masalah.
Namun, penyampaian bahan yang melampaui batas agama dan norma adab ketimuran perlulah dielakkan.
"Individu yang mahu memuat naik perlu mempunyai etika dan nilai moral hidup bermasyarakat kerana sesuatu hantaran di media sosial bukan hanya ditonton oleh masyarakat Malaysia tetapi di seluruh dunia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang."
"Ini memberi implikasi bukan hanya kepada mereka yang memuat naik sesuatu hantaran yang tidak baik itu tetapi masyarakat di negara ini turut terpalit, malah perkara ini sangat memalukan," kata Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar ketika mengulas mengenai rakaman menunjukkan seorang pempengaruh bersama rakannya berulang kali melangkah kubur dalam video berdurasi 37 saat di kawasan sebuah tanah perkuburan Islam, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, peraturan berkaitan media sosial itu perlu diperkukuh dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada pelaku yang membuat naik bahan jelik ke dunia maya.
Tambahnya, usaha pencegahan itu penting kerana pengguna media sosial kini terutama dalam kalangan segelintir pempengaruh gemar mencabar kelaziman dan "terlalu kreatif" dengan menayangkan video yang tidak sesuai untuk tontonan umum.
"Mereka (pempengaruh) hanya mengejar 'view', 'like' dan 'share' dan mengharapkan bahan dimuat naik itu tular tanpa memikirkan kesan terhadap diri, keluarga, masyarakat dan imej negara."
"Perkara yang mengundang fitnah seumpama ini perlu dielak dari awal lagi kerana mereka pasti buat perancangan sebelum sesuatu rakaman dibuat, justeru hukuman setimpal adalah langkah pencegahan yang baik untuk menghindar perkara ini berulang," katanya.