KUALA LUMPUR, 4 Januari - Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dapat mengurangkan pendedahan kandungan berbahaya dalam talian, sekaligus memastikan ruang digital yang lebih selamat khususnya buat generasi muda.
Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Liyana Mohd Ramly berkata platform digital dipertanggungjawabkan bagi memastikan kandungan berisiko dalam talian ditapis dengan lebih ketat menerusi ONSA.
“Saya melihat penguatkuasaan ONSA ini sebagai satu langkah yang sangat penting kerana ia bukan sahaja memberi perlindungan kepada pengguna tetapi lebih mengutamakan kanak-kanak dan keluarga.
“Dengan adanya kerangka perundangan ini (ONSA), platform digital bertangunggungjawab memastikan kandungan berisiko dapat ditapis seperti menerusi sistem pelaporan yang diperkuatkan dan perlindungan khusus untuk anak-anak dapat diperkasakan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Ke arah memberikan perlindungan keselamatan dalam talian buat golongan kanak-kanak, beliau berpandangan aspek literasi digital perlu diperkasakan lagi terutamanya golongan ibu bapa.
“Ibu bapa merupakan individu yang paling dekat dan paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak.
“Jadi ibu bapa perlulah diberikan panduan yang jelas tentang bagaimana memantau kandungan yang diakses oleh anak-anak atau menetapkan had penggunaan peranti berapa jam sehari dan memahami risiko-risiko yang wujud dalam talian,” ujar beliau lagi.
Selain itu, Dr Liyana turut mencadangkan agar sekolah turut diberi peranan penting dalam meningkatkan literasi digital dalam kalangan kanak-kanak menerusi penerapan pendidikan literasi digital dan keselamatan dalam talian.
Pada 1 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan ONSA yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga.
