KANGAR, 7 November - Nostalgia Pasar Malam Kangar yang dibuka sejak tahun 1980-an sebelum ditutup pada 1998 kini kembali mengamit memori para peniaga dan penduduk setempat.
Ini selepas 26 tahun ditutup, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengambil inisiatif membuka kembali pasar malam itu di lokasi asal bermula sejak semalam dalam usaha meningkatkan sosioekonomi peniaga tempatan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Affendi Rajini Khan, pembukaan semula Pasar Malam Kangar dibuat hasil penelitian, perancangan dan kesepakatan bersama-sama peniaga, ahli Majlis Perbandaran Kangar dan Kerajaan Negeri Perlis sejak tiga bulan lalu.
"Buat permulaan, Pasar Malam Kangar menyediakan 120 lot niaga melibatkan perniagaan barangan basah, barangan kering dan barangan siap masak serta minuman pelbagai jenis menjadi tumpuan penduduk sekitar Kangar.
"Terletak ditengah-tengah bandar Kangar, pengoperasian semula Pasar Malam Kangar dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, tandas awam, kemudahan pengangkutan dan sistem pencahayaan," kata Affendi.
Beliau memaklumkannya ketika mengadakan Walkabout Pembukaan Semula Pasar Malam Kangar di Tapak Pasar Lama Kangar bersama Exco Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil dan ahli Majlis Perbandaran Kangar.
Berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk, pasar malam tersebut yang kini beroperasi setiap Rabu akan beroperasi dua kali seminggu dalam tempoh terdekat bergantung sambutan dan kesediaan peniaga.
Majlis Perbandaran Kangar hingga kini menguruskan sebanyak 10 pasar malam utama seluruh negeri Perlis.