KOTA KINABALU, 4 Mei- Kadar penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang rendah di Sabah perlu ditangani segera.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata Sabah merekodkan kira-kira 12.7 peratus pelajar dalam aliran STEM dan ia merupakan yang terendah dalam negara.
Justeru, Datuk Mustapha menyarankan agar tindakan wajar diambil segera oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi meningkatkan pelajar aliran STEM
''Di Sabah agak rendah pelajar-pelajar aliran STEM kita, lebih kurang 12.7 peratus sahaja. Jadi, itu saya tekankan dalam ucapan saya, supaya JPNS khususnya PPD Sepanggar mencari alternatif untuk meningkatkan pembabitan pelajar dalam aliran STEM ini," kata Datuk Mustapha kepada pemberita sempena Karnival Raya Pendidikan Tinggi Sabah, di sini.
Secara purata 170,000 graduan STEM dihasilkan setiap tahun untuk pasaran kerja namun penawaran jawatan yang bersesuaian terhad iaitu 48,000 kekosongan atau bersamaan 25.5 peratus.
Menurut laporan World Economic Forum (WEF), Malaysia adalah negara yang menghasilkan graduan STEM tertinggi dengan 43.5 peratus dan berada pada kedudukan 33 daripada 63 buah negara dalam World Talent Ranking pada tahun 2023.