MACHANG, 30 Oktober- Program Muzikal Muhibah dan Suara Dari Lembah Harapan oleh penghuni penjara membawa harapan dan pelbagai kebaikan, bukan sahaja kepada para peserta tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Program anjuran Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka itu berlangsung di Kelantan dan merupakan harapan untuk pemulihan serta perubahan diri penghuni penjara.
Pengarah Penjara Negeri Kelantan, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Hamid Taha berkata program tersebut memberi peluang kepada penghuni penjara untuk meluahkan perasaan, pengalaman dan niat mereka untuk berubah melalui seni.
Ia juga menjadi platform bagi mereka menunjukkan keinginan untuk memperbaiki diri dan kembali ke jalan yang benar.
"Untuk Muzikal Muhibah ini, julung kali diadakan di Kelantan pada tahun ini. Bagaimanaoun, sebelum ni sudah ada sekali, ini lebih kepada saringan dilaksanakan pada bulan Mei lepas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Program Muzikal Muhibah Dan Suara Dari Lembah Harapan Peringkat Penghuni Zon Semenanjung Malaysia Tahun 2024 di Pusat Pemulihan Akhlak Machang hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pemerkasaan melalui seni muzikal dan lakonan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada bakat seni dalam kalangan penghuni penjara tetapi juga membantu membina keyakinan diri dan mengembangkan kemahiran baharu.