KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Penghantaran dan penugasan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan bagi misi pengaman akan diteruskan, dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 hingga 18 November ini.
Jelas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, keputusan tersebut diambil setelah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Markas Angkatan Bersama, menerima makluman bahawa Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah menetapkan tarikh pertukaran bagi semua pasukan UNIFIL.
Ia termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.
"Pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab Pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji serta mandat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Ia sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pasukan UNIFIL," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan MALBATT 850-11 atas prestasi cemerlang mereka sepanjang menjalankan tugas di kawasan tanggungjawab.
Beliau berharap pasukan MALBATT 850-12 dapat meneruskan kecemerlangan tersebut.-BERNAMA