Amalkan penggunaan tenaga dan air secara cekap dan berhemat sepanjang Aidilfitri

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Mac – Orang ramai disaran mengamalkan penggunaan tenaga dan air secara cekap dan berhemat sepanjang musim perayaan Aidilfitri, susulan peningkatan penggunaan kedua-dua sumber itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalkan penjimatan elektrik: padam peralatan tidak digunakan, elak mod sedia, tetapkan penyaman udara 24-26°C, guna peralatan berpenarafan tinggi.
  • Baiki kebocoran paip, guna air berhemah dan manfaatkan tadahan air hujan untuk kegunaan bukan utama.
  • SPAN pastikan operator siap siaga, sediakan pelan kontingensi dan sasarkan penggunaan air per kapita maksimum 160 liter sehari.
  • Pastikan keselamatan elektrik rumah: periksa pendawaian dan uji Peranti Arus Baki secara berkala.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggunaan elektrik bagi kediaman lazimnya meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding hari biasa.

Manakala penggunaan air pula dijangka meningkat sekitar 30 hingga 35 peratus di negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang berhari raya.

“Antara langkah penjimatan elektrik ialah mematikan peralatan apabila tidak digunakan, mengelakkan mod sedia, menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan berpenarafan kecekapan tenaga tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi penggunaan air, orang ramai disaran membaiki kebocoran paip, menggunakan air secara berhemah serta memanfaatkan sumber alternatif seperti tadahan air hujan untuk kegunaan bukan utama.

“Dalam masa sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memastikan operator bekalan air berada dalam keadaan siap siaga termasuk menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim perayaan,” katanya.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui SPAN turut menyasarkan penggunaan air per kapita harian pada kadar maksimum 160 liter, sejajar dengan sasaran antarabangsa.

Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya memastikan aspek keselamatan elektrik di rumah berada pada tahap optimum termasuk memeriksa pendawaian dan menguji Peranti Arus Baki (PAB) secara berkala.

Langkah penjimatan dan penggunaan berhemah ini bukan sahaja menjamin keselamatan sepanjang perayaan, malah menyokong usaha kelestarian sumber tenaga dan air negara.