fb fb fb fb fb

Penggunaan dron tanpa permit dilarang sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei- Sebarang pengendalian dron tanpa permit adalah dilarang sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, larangan itu bertujuan menjaga aspek keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang sidang berlangsung.

Menurutnya, CAAM menjalinkan kerjasama erat dengan agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam aspek pengawasan dan penyelarasan aktiviti penerbangan.

"Selain itu, CAAM turut bekerjasama dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi memantau sebarang aktiviti penerbangan dron di dalam negara.

“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan kawalan ruang udara, tetapi juga memastikan semua operasi penerbangan di Malaysia mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan KLCC bukan sebahagian daripada zon larangan terbang pesawat udara.

Bagaimanapun, sebarang sekatan atau larangan kekal tertakluk kepada lokasi yang telah digazet dan diumumkan melalui dokumen Penerbitan Maklumat Aeronautik serta notis kepada juruterbang (NOTAM).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE