
TAIPING, 13 Februari – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh stesen radio di negara ini, perlu dimanfaatkan secara beretika bagi memastikan industri penyiaran kekal berintegriti dan dipercayai.
- AI mesti digunakan secara beretika untuk mengekalkan integriti dan kepercayaan industri penyiaran.
- AI membantu penyelidikan kandungan, pengurusan arkib audio dan analisis trend untuk memperkaya siaran.
- Juruhebah tetap diperlukan secara fizikal; AI melengkapkan, bukan menggantikan, peranan manusia di konti.
- Radio perlu kekal relevan dengan menyampaikan maklumat pantas dan tepat sambil dekat dengan komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Hamzah Ishak berkata teknologi itu dapat membantu stesen radio dalam penyelidikan kandungan, pengurusan arkib audio dan meningkatkan capaian siaran ke khalayak ramai dengan lebih meluas.
“Bagi sektor penyiaran radio, kita amat memerlukan AI. Dia bukan pengganti juruhebah (DJ) ye, kita masih memerlukan juruhebah yang secara fizikal di konti AI untuk melengkapkan lagi dari segi kita punya kandungan, dari segi trend analisa maklumat dan sebagainya.
“RTM sebagai penyiar utama di negara ini, kita media awam kita akan terus memperkasakan kandungan dengan menggunakan konvensional dan AI,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Radio Sedunia 2026 di Dataran Warisan Taiping.
Menurutnya, radio perlu terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat lebih pantas dan tepat, selain kekal dekat dengan komuniti di seluruh negara.
Sambutan tersebut turut menghimpunkan wakil juruhebah daripada 34 stesen radio RTM, sebagai simbol kepelbagaian suara dan identiti radio di platform nasional yang inklusif.