fb fb fb fb fb

Pengguna perlu ubah cara hidup, berhemah guna elektrik - Pensyarah

GAMBAR FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Disember - Program kesedaran kecekapan tenaga wajar dilaksanakan untuk menggalakkan pengguna mengurus penggunaan elektrik dengan lebih jimat, kata Pensyarah Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani.

Ir. Dr Jasrul berkata dengan pelaksanaan program kesedaran itu dapat memupuk pengguna mengamalkan kecekapan tenaga.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelarasan tarif elektrik pada tahun hadapan yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos – Kos Tidak Seimbang atau lebih dikenali sebagai “Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

ICPT merupakan caj yang dikenakan untuk setiap kWj tenaga elektrik yang digunakan dan dipengaruhi faktor harga arang batu dunia.

Caj ICPT adalah komponen boleh ubah dalam bil elektrik, dimana kadar ICPT adalah berdasarkan kepada penggunaan tenaga elektrik pada setiap bulan.

"Kita perlu maklum, nilai tersebut perlu ditanggung atau ditanggung bersama disebabkan kos bahan api masih tinggi berbanding nilai yang telah ditetapkan pada tahun 2022.

"Kita sebagai pengguna perlu peka dengan nilai ICPT ini yang akan berubah setiap enam bulan. Jadi kita perlu cakna dan sepatutnya kita perlu ubah cara hidup kita.

"Antara kaedah terbaik adalah dengan menggunakan alat-alat bercekapan tinggi, walaupun penggunaan lama namun ia dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan dapat mengurangkan bil elektrik," katanya ketika dihubungi RTM.

ICPT adalah mekanisma yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sejak 1 Januari 2014.

Pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme ICPT ini dilaksanakan mengikut kelulusan yang telah diputuskan oleh kerajaan setiap enam (6) bulan pada setiap tahun.

Penilaian adalah bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun dan 1 Julai hingga 31 Disember.

Sektor penjanaan di Semenanjung bergantung sebahagian besarnya kepada arang batu (57 peratus), 37 peratus gas asli, enam peratus RE (tenaga boleh baharu) dan baki satu peratus minyak.

Semalam, Suruhanjaya Tenaga (ST) melalui kenyataan memaklumkan sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2024, yang dilaksanakan di bawah mekanisme ICPT.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN