Pengguna mula berjimat, bimbang impak krisis Asia Barat

Tinjauan di Pasar Raja Bot menyaksikan tiada kenaikan harga mendadak/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 April – Kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan makanan susulan konflik di Asia Barat, mendorong pengguna mengamalkan perbelanjaan lebih berhemat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengguna membeli ikut keperluan harian dan mengurangkan pembelian tidak penting.
  • Sesetengah menyimpan stok beras, minyak masak dan barang dapur untuk satu hingga dua bulan.
  • Tiada kenaikan harga mendadak barangan basah di pasar; orang ramai mahu pihak berkuasa campur tangan untuk menstabilkan harga.

Tinjauan di Kompleks Pasar Raja Bot, di sini, mendapati kebanyakan pengguna membeli barangan mengikut keperluan harian serta mengurangkan pembelian tidak penting bagi menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup.

Malah, ada segelintir pengguna mengambil langkah lebih awal dengan menyimpan stok barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan barangan dapur untuk tempoh satu hingga dua bulan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan harga.

Seorang pengguna, Farizal Aris berkata, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam membuat pembelian.

“Kita kena berjimat, beli barang yang perlu sahaja. Kalau harga terlalu mahal, elakkan,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Jefri Adi menegaskan kepentingan pengurusan kewangan dalam situasi semasa.

“Kena bajet, pilih yang penting sahaja untuk dibeli,” katanya.

Sementara itu, Shahrul Adi pula berkata dia masih meneruskan kehidupan seperti biasa namun lebih sederhana dalam berbelanja.

Bagaimanapun, tinjauan sama mendapati tiada kenaikan harga mendadak bagi barangan basah termasuk ayam, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar berkenaan.

Orang ramai berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan langkah intervensi segera bagi menstabilkan harga serta mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Konflik berterusan di Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan global, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga bahan makanan asas seluruh dunia.