Pengguna lega, kerja baik pulih jalan Gua Musang–Kuala Lipis selesai

FOTO RTM

GUA MUSANG, 10 Januari – Pengguna Jalan Gua Musang–Kuala Lipis menarik nafas lega apabila laluan berhampiran Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3D di Kampung Lepan Jaya, di sini, yang sebelum ini rosak, kini siap dibaiki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja baik pulih jalan Gua Musang–Kuala Lipis di Kampung Lepan Jaya telah siap dilaksanakan.
  • Aliran trafik kembali lancar selepas penurapan dan tampalan lebih 40 lubang.
  • Pengguna lega dan gesa pihak berwajib serta pengendali lori bertanggungjawab menjaga kondisi jalan.
  • Penghargaan disampaikan kepada TPM, KKR, JKR LTU, kontraktor dan pembekal atas tindakan segera.

Sebelum ini, keadaan jalan berkenaan tular di media sosial apabila ribuan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur terkandas lebih empat jam pada cuti hujung minggu lalu.

Tinjauan mendapati aliran trafik di kawasan Kampung Lepan Jaya kini kembali lancar selepas kerja penurapan jalan dilaksanakan.

Menurut seorang pengguna jalan raya, Azhar Salleh, kerja pembaikan itu amat melegakan dan wajar diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

“Syukur Alhamdulillah dan kita memang mengharapkan pihak yang berwajib memastikan jalan raya diselenggara dengan baik kerana keadaan jalan sebelum ini membahayakan kenderaan.

“Alhamdulillah dengar khabar jalan telah dibaik pulih dan semua pengguna yang melalui laluan ini, khususnya ke Kuala Lumpur, bersyukur. Kita ucap terima kasih kepada pihak yang mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar, insya-Allah,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Ibrahim Ismail berkata, keadaan jalan yang berlubang sebelum ini menimbulkan kebimbangan kerana boleh menyebabkan kerosakan kenderaan.

“Kalau kereta dalam keadaan tak berapa baik, memang takut rosak sebab terjun lubang. Nak mengelak pun tak boleh sebab kiri dan kanan berlubang.

“Kalau boleh kita mintalah pihak berwajib menurap semula jalan ini sebelum musim perayaan kerana biasanya kesesakan berlaku kalau jalan tak ‘clear’,” katanya.

Sementara itu, Mohd Razaleigh Mahmod turut menggesa semua pihak, termasuk pengendali lori, agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga keadaan jalan raya.

“Muatan lori yang tidak dipantau juga memberi kesan kepada keadaan jalan. Kalau semua pihak bertanggungjawab, jalan akan kekal baik dan kenderaan pun lancar.

“Saya tengok banyak aduan di media sosial sebelum ini, kenderaan selalu pecah tayar sebab jalan berlubang, lebih-lebih lagi kalau dipandu laju,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim memaklumkan kerja pembaikan jalan Gua Musang–Kuala Lipis di laluan utama berhampiran Kampung Lepan Jaya telah selesai dilaksanakan.

Beliau berkata, lebih 40 lubang di laluan sementara Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3BC berhampiran Taman Wangi juga telah ditampal semalam.

Mohd Syahbuddin turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) LTU serta kontraktor dan pembekal yang bertindak segera menangani isu berkenaan.