fb fb fb fb fb

Penggiat Mek Mulung meninggal dunia

Pengerusi AKRAB, Allahyarham Saipol Bahari Mohd Iman/JKKN Kedah

ALOR SETAR, 24 Disember- Penggiat teater tradisi warisan Kedah Tua, Mek Mulung Saipol Bahari Mohd Iman meninggal dunia malam tadi di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar, Kedah dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut abangnya Mohd Ridzwan Mohd Iman menerusi satu kenyataan di facebook, Pengerusi Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB) itu meninggal dunia kira-kira pukul 8.00 malam setelah dibawa untuk menerima rawatan.

Jenazah dibawa pulang ke rumah mertuanya di Lorong Seri Hujung, Alor Setar lewat malam tadi.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid Derga untuk disolatkan dan dikebumikan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Allahyarham bersama pasukannya yang baru pulang ke tahah air kira-kira dua minggu lalu, berjaya menjulang nama negara setelah Mek Mulung menerima pengiktirafan 'Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Perlu Dilindungi' oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu berlangsung di Kasane, Republik Botswana dari 4 hingga 9 Disember lalu.

Allahyarham bersama 10 peserta mewakili negara melalui pasukan dikenali Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa.

Kumpulan itu yang membuat persembahan pada 5 Disember lalu, adalah gabungan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKKN Kedah, AKRAB dan Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus dari Jitra.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, Sabarina Masadi ketika dihubungi berkata, Allahyarham antara penggerak pendokong utama untuk membangun, mempertahan, mengangkat serta memperkenal kesenian lama itu.

ROSLINA BINTI DIN