fb fb fb fb fb

Penggantian rumput padang Stadium Perak siap Mei tahun depan

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi merasmikan Program Hari Cuci Malaysia: Program Mega Pembersihan Sempena World Clean Up Day 2024 di Dataran Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

IPOH, 28 September- Proses penggantian rumput di Stadium Perak dijangkakan siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @Md Daud berkata proses berkenaan akan dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui kontraktor dilantik selain turut melibatkan sistem perparitan di stadium itu.

“Kita akan mulakan kerja penggantian pada November ini dan akan memgambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk disiapkan.

“Selain rumput, kita juga mungkin akan melakukan kerja-kerja melibatkan sistem perparitan, namun mungkin melibatkan skala kecil dan peruntukan adalah atas tanggungan MBI sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Cuci Malaysia: Program Mega Pembersihan Sempena World Clean Up Day 2024 di Dataran Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Pada Januari lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran berjumlah RM500,000 bagi kerja-kerja penggantian rumput padang di 14 stadium negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Perak menjadi antara negeri yang bersetuju menggunakan geran itu disebabkan Perak FC bakal mengharungi baki saingan Liga Super musim ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Lumut.

Mengulas mengenai Program Mega Pembersihan Sempena World Clean Up Day 2024, beliau berkata ia dilaksanakan serentak di 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara selain melibatkan skop pembersihan kawasan sekitar, kempen kitar semula dan kesedaran penggunaan beg plastik sekali guna.

Menurutnya, seramai 2600 kakitangan MBI telah menyertai program berkenaan yang turut membabitkan 21 lokasi sekitar bandaraya Ipoh.

“Program ini bermula dari 8 pagi hingga 8 malam selain memfokuskan kepada agenda keberhasilan program seperti pembersihan kawasan, pemangkasan pokok, pembersihan longkang, menyapu dan sebagainya,” katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI