PULAU PINANG, 7 Disember- Pengertian status halal harus lebih mantap, menyeluruh dan lengkap bukan hanya dalam konteks makanan sahaja.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengertian halal harus melibatkan semua bidang termasuk kegiatan ekonomi.
Jelas beliau, pensijilan halal juga menjadi tarikan kepada negara luar termasuk negara bukan Islam, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
"Malaysia perlu memperkukuhkan industri halal negara bagi merebut peluang pasaran halal global yang berpotensi mencecah sehingga RM4.5 trilion.
"Halal ini bukan sekadar mengenai penyembelihan daging, tetapi melibatkan semua produk termasuk perubatan, kosmetik, dan sebagainya.
"Oleh itu, kita perlu serius dalam meningkatkan keupayaan Malaysia sebagai pusat kegiatan industri halal, termasuk kewangan Islam, secara menyeluruh.
"Kita mesti memastikan pendekatan kita memenuhi matlamat maqasid syariah. Ini penting kerana ia melibatkan pengertian kesihatan secara menyeluruh yang perlu diteroka dengan lebih mendalam," katanya ketika merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) di Tapak Gravitas, Jalan Baru, Perai di sini.
PIHEX yang berlangsung dari 5 hingga 8 Disember, adalah inisiatif kerajaan negeri bagi mempromosikan dan merakyatkan industri halal.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur warung, gerai, dan restoran yang bersih serta menarik untuk diberikan perhatian.
"Sebagai contoh, di Pulau Pinang, saya telah menyebut keutamaan kita adalah untuk membangunkan pusat gerai dan perniagaan rakyat, seperti yang telah saya lakukan di Kuala Lumpur.
"Kita harus memberi tumpuan kepada perkara ini, kerana ia turut tergabung dalam konsep industri halal yang telah kita perluaskan pengertiannya.
"Oleh itu, penyelidikan dan suntikan dana amat penting untuk menyokong perusahaan kecil. Usaha ini perlu diselaraskan dengan baik oleh agensi seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat), TEKUN (TEKUN Nasional), dan lain-lain untuk membantu syarikat-syarikat kecil meningkatkan kapasiti mereka," katanya.