fb fb fb fb fb

Pengeluaran pasport: 20 pejabat dibuka setiap hari mulai esok

KUALA LUMPUR, 26 Januari- Bagi mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen, 20 Pejabat Pengeluar Pasport tidak termasuk Pusat Transformasi Bandar akan beroperasi setiap hari mulai esok.

Selain itu, mesin pencetak pasport juga akan ditambah di pejabat yang sesak dan mempunyai kadar pengunjung yang tinggi.

Menerusi Facebooknya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, pejabat pengeluar pasport di KLIA akan turut mengendalikan kes segera dan kecemasan.


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA)

Usaha lain yang dilaksanakan, termasuk menambah baik sistem janji temu dalam talian iaitu pemohon akan terus diberi tarikh, masa dan nombor giliran.

Mengenai isu kesesakan melibatkan pelawat asing di KLIA, beliau berkata, situasi itu berpunca daripada ketibaan kira-kira 20 hingga 26 pesawat secara serentak dalam jarak masa antara lima hingga 10minit pada waktu puncak.

Kesesakan turut disebabkan pemeriksaan ketat mengikut SOP yang dilaksana pihak berkuasa bagi memastikan pelancong asing memiliki syarat Pas Lawatan Sosial yang sah.

Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan akan mengkaji cadangan memperluas penggunaan pagar automatik kepada pelawat dari 10 negara berisiko rendah.

Selain itu mewujudkan Pasukan Tindak Balas Pantas bagi membantu pegawai di kaunter imigresen semasa waktu puncak.

Ia dijangka beroperasi pada 1 Februari ini.

Media Baharu