IPOH, 11 November- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran 6,000 duit syiling peringatan bersempena sambutan ulang tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ke-50.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata pengeluaran duit syiling peringatan itu sebagai mengenang jasa peladang, penternak dan nelayan yang telah bertungkus lumus membangunkan sektor pertanian negara.
"Kalau kita lihat dia lebih mengenangkan kepada jasa peladang dan penternak yang telahpun bertungkus-lumus untuk negara. Jadi, ini adalah istimewanya Jubli Emas LPP ini.
Kita nyatakan melalui pengeluaran syiling itu. Kita letak usahawan peladang dan juga penternak, petani pesawah dengan menggunakan teknologi dan bernilai sebenarnya RM10 sahaja," kata Azulita kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perasmian duit syiling berkenaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini.
Duit syiling itu dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023 (HPPNK 2023).