(Mangsa (kanan) dan isterinya)
GUA MUSANG, 3 Ogos- Seorang pengawal keselamatan maut dipijak seekor gajah liar ketika dalam perjalanan untuk memancing ikan di sebuah ladang kelapa sawit di Tanah Tinggi Lojing, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 petang itu, mangsa, Mohd. Marzuki Mohd. Nawi, 42, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pos Brooke.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama seorang rakannya masing-masing menunggang motosikal dalam perjalanan ke sebatang sungai di kawasan ladang MJB Forestry Lojing di sini.
Ketika sedang mendaki bukit, Mohd. Marzuki dan rakannya terserempak dengan dua ekor gajah dewasa yang keluar dari kawasan ladang.
Mohd. Marzuki disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan ‘traumatic lung injury’ dan pemeriksaan fizikal mendapati ada kesan lebam serta luka pada pinggang kiri mangsa dipercayai dipijak gajah terbabit.
Sementara itu, isteri mangsa, Azizah Ishak terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya.
"Rakan suami minta kunci (kereta), beritahu nak ambil suami yang kena pijak gajah. Selepas 20 minit mereka kembali. Saya tengok dia (mangsa) atas Hilux dan tanya dia sakit ke, suami hanya mengangguk.
"Masa dalam perjalanan ke klinik, suami beritahu 'sakit, (seperti) nak mati dah. Kami suruh mengucap, suami sebut 'Allah, Allah'," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
(Azizah Ishak ditemui pemberita di kediamannya di Gua Musang, Kelantan)