(FOTO FACEBOOK ABIM)
KUALA LUMPUR, 18 Mei- Pengasas dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Prof Dr. Ustaz Razali Nawawi meninggal dunia pada pukul 6.45 pagi tadi di Hospital Pakar An-Nur Bangi.
Berita pemergian Allahyarham diumumkan menerusi Facebook ABIM.
Menurut hantaran itu, jenazah Allahyarham Ustaz Razali dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada pukul 10.00 pagi.
Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.
Allahyarham Ustaz Razali berusia 83 tahun.
Hujung minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya.
Ustaz Razali menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Datuk Seri Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974.
Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan memajukan organisasi tersebut, yang terus berjuang untuk kepentingan umat Islam di Malaysia.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Dekan Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dari tahun 1983 hingga 1993.
(Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa menziarahi
Ustaz Razali di kediamannya, hujung minggu lalu)