fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu kepada PERKESO

Tertuduh, S. Ramamoorthy, 41 tahun

JOHOR BAHRU, 14 November- Seorang pengarah syarikat pendidikan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga tuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM74,000, dua tahun lalu. 

Tertuduh, S. Ramamoorthy, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, dia selaku Pengarah Karisma Education Group Sendirian Berhad didakwa menipu kakitangan PERKESO dengan mengemukakan borang butiran palsu untuk 10 orang pekerja menerusi Insentif Program Penjana Kerjaya 2.0.

Senarai pekerja yang dikemukakan tertuduh didapati bukan pekerja di syarikatnya. 

Kesalahan dilakukan di pejabat PERKESO Johor Bahru di sini pada 25 dan 26 Mei 2021. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama. 

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli dan tertuduh diwakili Peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh.  

Mahkamah memerintah jaminan sebanyak RM15,000 dengan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat. 

Sebutan kes ditetapkan 14 Disember depan. 

SITI AISHAH BINTI MD ISA