SHAH ALAM, 28 Januari - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mempunyai bidang kuasa bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap seorang lelaki bernama Muhammad Qasim Abdul Karim mengenai ajaran mimpi dibawanya yang mendakwa mengetahui peristiwa akhir zaman.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata siasatan awal JAIS mendapati lelaki itu tidak melakukan perbuatan itu di negeri Selangor.
"Kami akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu dalam kalangan penganut Islam di Selangor yang mempercayai, berpegang teguh, menyebar, mempengaruhi, mengikuti atau
memperakui pandangan pernyataan mimpi Muhammad Qasim," katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan yang ditetapkan oleh undang-undang mengenai perkara tersebut.
"Saya meminta masyarakat tidak mudah terpedaya dengan keyakinan terhadap perkara berkaitan agama yang bersifat terpencil dari pengetahuan awam kerana kebenaran dalam agama Islam khususnya dalam soal akidah adalah bersifat majoriti," tambahnya.
Â