fb fb fb fb fb

Penganjuran GFIEF, platform dorong Malaysia kembali jadi peneraju inovasi kewangan Islam

Foto hiasan

RIYADH, 30 April- Penganjuran Forum Ekonomi dan Kewangan Islam Global (GFIEF) akan menjadi platform yang mendorong Malaysia kembali menjadi peneraju inovasi kewangan Islam.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, ini memandangkan sektor kewangan Islam negara sudah cukup matang dan stabil bagi menginovasikan produk kewangan dan perbankan Islam.

Ia selari hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu sektor itu membangunkan sendiri produk berkaitan berbanding merujuk sistem kewangan konvensional sebagai panduan.

"Tapi sekarang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim rasa itu sudah cukup. Kita dah cukup matang dan stabil dan pada masa ini dengan cabaran-cabaran baharu seperti teknologi dan sebagainya.

"Jadi beliau kini mahu kita membangunkan produk-produk baharu kewangan Islam, mengambil kira prinsip-prinsip Islam dan bagaimana kita dapat membolehkan perkongsian risiko yang lebih adil dan juga dari segi memanfaatkan konsep-konsep seperti zakat dan wakaf untuk kewangan sosial", katanya di luar acara Mesyuarat Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) di Riyadh.

Inovasi kewangan Islam turut menjadi fokus utama dalam perbincangan antara Malaysia dan IsDB pada mesyuarat berkenaan.

GFIEF dijadual berlangsung pada 28 hingga 29 Mei 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia.

Forum yang bakal dirasmikan Perdana Menteri itu akan menghimpunkan penggubal dasar, peneraju perniagaan dan penyedia perkhidmatan kewangan seluruh dunia untuk membincang dan membangunkan masa depan kewangan Islam.

ROSLINA BINTI DIN