fb fb fb fb fb

Penganjuran aktiviti budaya warisan tarik kemasukan pelancong

Sekitar kemeriahan Festival Gasing di Labuan / FOTO RTM

LABUAN, 26 September- Penganjuran Festival Gasing bersempena Program Madani Rakyat Labuan mampu mengekal minat golongan muda dalam permainan tradisi sekali gus menyubur semula semangat hidup bermasyarakat selain mengukuh perpaduan dan identiti nasional.
 
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, keunikan produk dan aktiviti budaya warisan itu juga menjadi faktor penggalak kepada pelawat atau pelancong ke sesuatu destinasi.
 
"Kita punya warisan ini merupakan salah satu daripada produk pelancongan, sebab ramai pelancong datang bukan sahaja hendak makan atau melihat keindahan negara kita, tetapi mereka mahu tahu apakah warisan-warisan yang ada di dalam negara," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Karnival Gasing Seborneo Labuan, anjuran MOTAC dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA).
 
Festival tiga hari itu turut diisi reruai jualan dan pameran kebudayaan terdiri etnik borneo.
 
Acara kemuncak, pertandingan Pertandingan Gasing Tradisi Borneo melibatkan kategori Guwau Bebas, Gasing Remaja serta Gasing Tradisi Tertutup Labuan.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE