PUTRAJAYA, 23 September - Seramai 40 pengamal perubatan dari Hospital Putrajaya kini menguasai ilmu bahasa isyarat bagi memudahkan urusan rawatan khususnya kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.
Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Suraya Amir Husin berkata, Penguasaan itu penting memandangkan ia sebagai medium komunikasi antara golongan tersebut dengan pengamal perubatan.
"Kita tahu jika ada isu dari segi komunikasi, pemberian rawatan itu kadang-kadang menjadi tidak tepat, jadi adalah penting untuk kita sebagai anggota kesihatan untuk belajar bahasa isyarat ni untuk sama-sama memahami menjadi medium kepada komunikasi dengan komuniti pekak untuk memberikan perawatan yang sebenar yang lebih tepat", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kursus Bahasa Isyarat Malaysia dalam Perawatan Perubatan di Hospital Putrajaya anjuran Unit Fisoterapi hospital berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Ketua Unit Fisioterapi Hospital Putrajaya, Mohd Naqiuddin Johar berkata, pembelajarannya mampu mengatasi kekangan yang sering dihadapi petugas kesihatan.
"Masalah utama yang ahli fisioterapi hadapi adalah interaksi dalam kalangan orang pekak sekiranya telah dirujuk ke unit fisoterapi jadi masalah interaksi ini.
"Saya rasa bukan saja dialami oleh fisoterapi sendiri tetapi juga ke seluruhan pengamal kesihatan di hospital sekiranya ada berlaku kesilapan interaksi mungkin akan mengakibatkan komplikasi atau symptom lagi teruklah", katanya.
Jururawat, Nurziyana Ismail pula berkata, ia amat penting dalam membantu ketepatan rawatan selain meningkatkan kepercayaan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.
"Kalau kami berjumpa dengan pesakit ini memang sangat memberi kami kekanganlah, jadi dengan itu kami akan memanggil jurubahasa atau kawan-kawan yang boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat", katanya.
Bagi Jurubahasa Isyarat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply pula, rawatan untuk golongan ini memerlukan penelitian yang lebih mencabar.
"Orang pekak ni bila betul-betul sakit baru mereka akan pergi di hospital, sebab mereka merasakan kalau pergi tak tahu nak cakap.
"Mereka memerlukan bantuan orang lain, contohnya kakitangan KKM atau jururawat yang tahu asas untuk melihat tekanan darah serta mengenalpasti sejarah pesakit dan terangkan dalam bahasa isyarat", katanya.
Program berkenaan juga dicadang untuk diperluas bagi mengukuhkan lagi pengetahuan bahasa isyarat dalam kalangan pengamal kesihatan.