
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Pengalaman hidup sejak usia muda menjadi titik tolak kepada Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat untuk memahami dunia secara lebih terbuka, termasuk menanam minat mendalam terhadap bahasa dan budaya tempatan di Malaysia.
- Pengalaman hidup sejak muda membentuk minat James memahami dunia dan budaya lain.
- Penguasaan bahasa tempatan dianggap penting dalam profesion diplomatik.
- Minat terhadap bahasa Melayu mula timbul selepas tugasan diplomatik pada 2013.
- Bahasa Melayu dihargai sebagai pintu masuk kepada budaya Malaysia dan identiti rantau.
Menurut Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat, James Butler Dewey, penguasaan bahasa tempatan adalah elemen penting dalam profesion diplomatik.
Walaupun pernah membesar di Brazil yang menggunakan bahasa Portugis, minatnya terhadap bahasa Melayu mula bercambah apabila menerima tugasan diplomatik pada tahun 2013.
Beliau memulakan pembelajaran bahasa Melayu di Amerika Syarikat bersama guru warga Malaysia, sebelum pernah menjejakkan kaki ke negara ini.
Minat tersebut semakin mendalam apabila beliau menyedari keunikan bahasa Melayu yang dipengaruhi pelbagai tamadun dunia.
“Saya dapati ada perkataan yang berasal daripada bahasa Portugis, Arab dan lain-lain. Ini menunjukkan sejarah Nusantara yang kaya dan terbuka.
“Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa tetapi menyimpan sejarah dan identiti rantau ini,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
James berpendapat bahasa Melayu relatif mudah dipelajari, namun memerlukan keberanian untuk mempraktikkannya.
“Bagi saya ‘tak kenal makan tak cinta’. Walaupun belum fasih saya cuba bercakap dalam bahasa Melayu kerana itu membantu membina keselesaan dan persabahatan dengan masyarakat tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, selaras dengan peranan bahasa Melayu yang mencerminkan budaya tempatan, James menyifatkan bahasa itu sebagai hadiah kepada negara.
“Bahasa Melayu adalah pintu masuk kepada budaya Malaysia. Ia halus, indah dan kaya nilai. Rakyat Malaysia patut berbangga dan berkongsi bahasa ini dengan orang asing seperti saya,” jelasnya.