Peneroka FELDA lega isu tanah 40 tahun selesai

Ketua Peneroka Felda Neram Dua, Datuk Bahari Abdullah /Foto RTM

KEMAMAN, 19 Mac – Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Terengganu menzahirkan rasa syukur susulan penyelesaian pertikaian tanah yang berlarutan hampir empat dekad selepas kerajaan negeri dan FELDA mencapai kata sepakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian di Kementerian Kewangan, Putrajaya memberi sinar baharu dan memperkemas status pemilikan ladang komersial untuk peneroka.
  • Ketua peneroka Datuk Bahari Abdullah berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan FELDA; sumbangan FGV amat besar.
  • Peranan kerajaan Persekutuan sebagai pemudah cara dan kerjasama negeri membantu mencapai penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti FELDA.
  • Perjanjian melibatkan enam daerah; dijangka memberi manfaat ekonomi lebih luas dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi peneroka.

Perjanjian penyelesaian yang dimeterai di Kementerian Kewangan, Putrajaya itu memberi sinar baharu kepada peneroka, khususnya dalam memperkemas status pemilikan ladang komersial.

Ketua Peneroka Felda Neram Dua, Datuk Bahari Abdullah berkata penyelesaian itu menamatkan isu berpanjangan yang sekian lama membelenggu peneroka.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan FELDA kerana berjaya menyelesaikan perkara ini. Sumbangan FGV (Holdings Berhad) kepada peneroka adalah amat besar,” katanya.

Beliau berkata peranan kerajaan Persekutuan sebagai pemudah cara serta kerjasama kerajaan negeri membantu mencapai penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti FELDA.

Sementara itu, wakil peneroka, Zahli Zailani berharap isu berkenaan tidak lagi timbul pada masa depan.

“Jadi tidak timbul lagi apa-apa masalah di kemudian hari dengan FGV. Diharap semuanya berjalan lancar selepas ini,” katanya.

Perjanjian itu melibatkan enam daerah iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

Langkah berkenaan dijangka memberi manfaat ekonomi lebih luas kepada komuniti Felda serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi peneroka.