Penerima bujang sambut baik SARA, ringan beban kewangan

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 17 Januari – Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi golongan bujang, membantu meringankan beban mereka yang masih belum memiliki pendapatan stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan SARA untuk golongan bujang meringankan beban kewangan harian mereka.
  • Penerima mengalu-alukan inisiatif sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap belia.
  • RM50 sebulan membantu pembelian barangan dapur dan jimat perbelanjaan.
  • Program ini memanfaatkan 3.1 juta penerima, jumlah setahun sehingga RM600.

Tinjauan di Johor Bahru mendapati kebanyakan penerima menyambut baik bantuan itu, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan belia dan bujang.

Atlet, Irfan Syahmi Norshaharudin, berkata bantuan berkenaan amat membantu dalam memenuhi keperluan asas, terutama perbelanjaan makanan dan minuman.

“Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu, terutamanya untuk membeli barangan keperluan hidup seperti makan dan minum. Dalam keadaan semasa, ada masa kita memang memerlukan bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Amsyar Nadil Azhar, yang kini tidak bekerja, berkata bantuan berkenaan memberi ruang kepada golongan bujang untuk merancang perbelanjaan dengan lebih berhemah.

Bantuan sebanyak RM50 sebulan membolehkan golongan muda membeli barangan dapur bagi menyediakan makanan sendiri sekali gus menjimatkan kos.

“Bantuan ini sangat membantu golongan muda seperti kami untuk membeli barangan mudah dimasak di rumah. Ia membolehkan kami berjimat dan menyimpan sedikit peruntukan untuk kegunaan lain,” katanya.

Dalam pada itu, sukarelawan Helmizam Daris turut menyifatkan bantuan tersebut sebagai inisiatif bersesuaian dengan keperluan golongan muda selain membantu dalam pembelian barangan asas serta perbelanjaan harian.

“Saya berasa gembira kerana bantuan ini membantu membeli barangan asas. Ia sesuai untuk golongan muda dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini,” katanya.

Penerima kategori bujang menerima RM50 sebulan, dengan jumlah terkumpul sehingga RM600 setahun sumbangan berkenaan dikreditkan pada semalam (16 Januari), memanfaatkan seramai 3.1 juta penerima di seluruh negara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan