KUALA LUMPUR, 2 November- Forum Belanjawan 2024, anjuran Penerangan UMNO dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kini sedang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Program tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO menekankan pentingnya strategi komunikasi yang efektif khususnya dalam menangani eleman fitnah, selain memastikan inisiatif dilancarkan kerajaan difahami sepenuhnya oleh rakyat, mengambil contoh Belanjawan 2024.
Berkongsi sentimen sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyeru usaha semua jentera parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk mempergiat usaha menyebar luas maklumat sahih berkaitan inisiatif diperkenal kerajaan.
Justeru, beliau mencadangkan sesi libat urus bersama jentera komponen untuk diadakan dengan lebih kerap demi memastikan kebersamaan di peringkat akar umbi sekali gus menangkis naratif politik dibawa pihak lawan yang berpotensi merencatkan perancangan kerajaan.
Sesi kemudiannya diteruskan dengan agenda utama iaitu sesi Forum Belanjawan 2024, menampilkan panelis Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong serta dipengerusikan Shafiq Fadhly selaku moderator.